Majlis ilmu bersama tokoh dakwah penting suburkan kefahaman agama – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penganjuran majlis ilmu bersama tokoh agama berwibawa penting dalam memperkukuh kefahaman Islam serta membimbing masyarakat mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian.

Menurut beliau, pengisian ilmu agama bukan sahaja mampu meningkatkan pengetahuan, malah berperanan membentuk pemikiran, membersihkan hati dan membimbing amalan berlandaskan akidah yang kukuh.

Anwar berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menerima kunjungan tokoh dakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara, sempena Majlis Ilmu MADANI yang berlangsung di kediaman rasmi Seri Perdana, Putrajaya, pada Rabu.

Beliau memaklumkan, tausiah yang disampaikan Ustaz Abdul Somad memberi penekanan kepada kepentingan perpaduan dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya dan agama.

Pengisian tersebut turut mengetengahkan pengajaran serta teladan daripada kehidupan Rasulullah SAW sebagai panduan dalam membina hubungan harmoni sesama masyarakat.

Menurut Perdana Menteri, pendekatan dakwah yang menghubungkan khazanah ilmu Islam dengan kehidupan seharian dapat membantu masyarakat memahami persoalan agama dengan lebih mendalam.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan rasa syukur atas kehadiran Ustaz Abdul Somad yang disifatkan sebagai tetamu istimewa pada majlis berkenaan.

Beliau turut mendoakan agar tokoh dakwah tersebut terus dikurniakan kebijaksanaan dan kekuatan untuk menyampaikan ilmu serta membimbing masyarakat melalui pendekatan dakwah yang penuh hikmah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *