Liputan 5G bakal diperluas ke pelabuhan, laluan rel dan lebuh raya – Fahmi

BUTTERWORTH – Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneliti cadangan memperluas pengukuran liputan rangkaian telekomunikasi, khususnya 5G, bagi merangkumi kawasan ekonomi strategik seperti pelabuhan, laluan rel dan lebuh raya.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ukuran liputan kawasan berpenduduk (CoPA) yang digunakan ketika ini perlu dikaji semula supaya kawasan tanpa penduduk tetapi mempunyai aktiviti ekonomi penting turut mendapat perhatian.

Menurut beliau, cadangan itu juga akan dibawa ke peringkat antarabangsa menerusi forum Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang dijadualkan berlangsung di Doha pada November ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penang Port Private 5G di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), yang menyaksikan Pelabuhan Pulau Pinang menjadi pelabuhan pertama di Malaysia menggunakan rangkaian 5G persendirian hasil kerjasama Altel Communications Sdn Bhd dan Penang Port.

Fahmi menjelaskan bahawa penggunaan rangkaian 5G persendirian berpotensi diperluas kepada sektor perkilangan, logistik dan industri lain kerana mampu menyediakan sambungan komunikasi yang lebih khusus bagi menyokong operasi kritikal serta penggunaan peralatan berteknologi tinggi.

Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi akan menyediakan nota Jemaah Menteri dan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi memperluas liputan telekomunikasi, termasuk di pelabuhan lain di seluruh negara.

Beliau turut menegaskan bahawa peluasan teknologi 5G penting bagi meningkatkan kecekapan operasi industri, memperkukuh aspek keselamatan serta memastikan pembangunan infrastruktur digital negara tidak hanya tertumpu di kawasan berpenduduk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *