BALI – Malaysia dan Indonesia bersetuju memperluas kerjasama antara agensi bagi menangani isu keselamatan kanak-kanak dalam talian, dengan usaha turut dirancang untuk melibatkan Singapura dalam inisiatif berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keselamatan kanak-kanak di alam maya merupakan isu penting yang memerlukan perhatian bersama negara-negara ASEAN, khususnya dalam menghadapi cabaran penggunaan platform digital dan media sosial.
Menurut beliau, Malaysia sedang berusaha mengadakan pertemuan tiga hala bersama Indonesia dan Singapura pada Disember ini, tertakluk kepada kelapangan jadual ketiga-tiga negara.
Fahmi berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid, di Bali pada Selasa.
Beliau turut menyambut baik hasrat Indonesia untuk memperkukuh hubungan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia, termasuk berkongsi pengalaman dalam pengendalian aduan berkaitan media sosial.
Walaupun negara-negara ASEAN mempunyai undang-undang dan pendekatan penguatkuasaan berbeza, Fahmi berpandangan kerjasama tersebut berpotensi menggalakkan penyertaan lebih banyak negara serantau dalam usaha meningkatkan keselamatan digital.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo turut bertukar pandangan dengan Fahmi mengenai keselamatan dalam talian kanak-kanak dan golongan muda serta perkembangan teknologi telekomunikasi ketika pertemuan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.
Kerjasama yang dirancang itu mencerminkan usaha ketiga-tiga negara untuk memperkukuh perlindungan pengguna muda dalam menghadapi cabaran keselamatan dunia digital.
















Leave a Reply