Lebih 329,000 Guru Terima Latihan AI, KPM Perkukuh Persediaan Pendidikan Digital

KUALA LUMPUR – Seramai 329,414 guru di seluruh negara telah menerima latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan menghadapi perkembangan teknologi dalam sektor pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu bertujuan memastikan guru mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Menurut beliau, latihan berkenaan turut memberi penekanan kepada penggunaan AI secara selamat dan beretika dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Fadhlina berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan pada sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Selain latihan guru, beliau memaklumkan seramai 1.5 juta murid turut menerima pendedahan kepada teknologi dan AI melalui program berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pengaturcaraan, robotik serta inovasi digital.

Katanya, usaha tersebut penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu menggunakan teknologi, malah berupaya menghasilkan idea dan inovasi sendiri.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina mengumumkan bahawa asas kecerdasan buatan akan diperkenalkan menerusi mata pelajaran Teknologi Digital di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027.

Pembelajaran berkaitan AI juga akan diperkukuh menerusi mata pelajaran bersesuaian di peringkat sekolah menengah.

Beliau turut menegaskan kepentingan membimbing murid supaya menggunakan AI secara bertanggungjawab, termasuk menyemak fakta, menilai kesahihan maklumat dan membuat pertimbangan secara kritis.

Menurutnya, penggunaan teknologi perlu membantu meningkatkan keupayaan berfikir murid dan bukannya menyebabkan mereka terlalu bergantung kepada AI.

KPM turut menekankan bahawa teknologi AI tidak boleh menggantikan peranan asas guru dalam mendidik dan membentuk nilai kemanusiaan dalam kalangan murid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *