Lebih 2.09 bilion e-Invois diterima LHDN, sistem analitik pintar perkukuh pematuhan cukai

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan penerimaan lebih 2.09 bilion e-Invois sejak pelaksanaannya diperkenalkan secara berperingkat, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha pendigitalan sistem percukaian negara.

Pengarah Seksyen Polisi dan Pematuhan, Bahagian E-Invois, Sektor Operasi Cukai LHDN, Mohd Syazli Mokthar berkata, inisiatif yang kini memasuki tahun ketiga itu turut melibatkan penyertaan lebih 269,000 pembayar cukai.

Menurut beliau, pelaksanaan e-Invois bukan sekadar menggantikan dokumen fizikal dengan rekod digital, malah membantu meningkatkan kecekapan operasi perniagaan serta ketelusan pelaporan transaksi.

Beliau berkata, maklumat yang dikumpulkan melalui sistem berkenaan membolehkan LHDN memahami struktur ekonomi dan aliran transaksi pasaran dengan lebih tepat.

Dalam usaha memperkukuh pematuhan cukai, LHDN turut mengintegrasikan teknologi analitik pintar bagi memproses dan menganalisis profil kewangan pembayar cukai secara automatik selepas e-Invois dihantar.

Sistem tersebut menggunakan analisis deskriptif, diagnostik, prediktif dan preskriptif untuk mengenal pasti corak transaksi serta menjangkakan trend kewangan.

Bagaimanapun, Mohd Syazli menjelaskan bahawa perbezaan corak data tidak semestinya menunjukkan berlakunya kesalahan cukai kerana ia mungkin berpunca daripada pelarasan akaun atau perbezaan tempoh pelaporan.

Beliau turut mendedahkan antara kesilapan yang sering dilakukan peniaga ialah hanya mengeluarkan e-Invois bagi urusan jualan stok, tetapi mengabaikan transaksi lain seperti pelupusan aset perniagaan dan pendapatan sewa.

Selain itu, terdapat kekeliruan berkaitan pengeluaran e-Invois bil kendiri bagi pembekal yang belum diwajibkan menggunakan sistem berkenaan, sedangkan kemudahan itu hanya dibenarkan untuk transaksi tertentu.

Bagi membantu peniaga memperbetul kesilapan, LHDN menawarkan pengecualian penalti sepenuhnya melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois sehingga 31 Disember 2027, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, LHDN turut meningkatkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta bagi meringankan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perniagaan yang layak di bawah ambang tersebut tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois, namun digalakkan menyertai sistem berkenaan secara sukarela bagi mempercepat proses pendigitalan perniagaan.

Mohd Syazli berkata demikian ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio yang membincangkan transformasi digital ke arah pematuhan cukai lebih berkesan./

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *