KKM perkukuh sistem sokongan kesihatan mental di seluruh negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan mental, termasuk membangunkan Dasar Kesihatan Mental di Tempat Kerja bagi menjaga kesejahteraan pekerja.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dasar tersebut masih dalam proses perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia dan agensi berkaitan sebelum dimuktamadkan.

Menurut beliau, perkhidmatan kesihatan mental kini boleh diakses menerusi 1,116 klinik kesihatan kerajaan, selain hospital dan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI).

Malaysia turut mempunyai kira-kira 700 pakar psikiatri berdaftar, dengan 400 berkhidmat di KKM dan selebihnya dalam sektor swasta.

Selain itu, sebanyak 68 hospital KKM dan empat institusi psikiatri menyediakan perkhidmatan berkaitan, menjadikan keseluruhannya 72 fasiliti.

Dzulkefly berkata, lebih 55,000 penjawat awam dikenal pasti berisiko tinggi menghadapi masalah kesihatan mental berdasarkan saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD).

Sehubungan itu, KKM akan terus memperluas perkhidmatan, latihan kepakaran dan intervensi awal bagi memastikan masyarakat mendapat sokongan kesihatan mental yang sewajarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *