KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, susulan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan tangan kanannya terpaksa dipotong.
Jaminan itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, ketika menziarahi Hafizuddin yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Dalam kunjungan itu, beliau turut bertemu ibu bapa serta ahli keluarga atlet berkenaan. Beliau juga menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan.
Menurut Taufiq, Hafizuddin berada dalam keadaan baik dan menunjukkan semangat yang kuat.
“Udin tak akan keseorangan,” katanya menerusi kenyataan media Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertarikh 18 November 2026.

MSN tanggung kos rawatan dan elaun latihan diteruskan
Menerusi kenyataan sama, kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan berkaitan insiden tersebut.
Tanggungjawab itu merangkumi rawatan susulan serta penginapan di wad sehingga Hafizuddin dibenarkan keluar hospital.
Selain itu, elaun latihan atlet berkenaan akan diteruskan seperti biasa berdasarkan kadar kelayakan semasa.
Bagi membantu keluarganya, MSN turut menyediakan penginapan dan makanan sepanjang mereka menemani Hafizuddin di HKL.
Kemudahan penginapan disediakan di Casa MSN atau lokasi lain yang difikirkan sesuai oleh keluarga.
Layak terima manfaat insurans dan PERKESO
Dalam perkembangan sama, semakan MSN melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) mendapati Hafizuddin layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000.
Beliau turut layak menerima faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam PERKESO.
Berdasarkan anggaran PERKESO, Hafizuddin layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit.
Beliau juga layak menerima Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) sebanyak RM915.84 sebulan sepanjang hayat, selain bayaran pukal sekali gus berjumlah RM39,060.58.
Malah, kemudahan faedah perubatan serta pemulihan jasmani dan vokasional turut disediakan bagi membantu proses pemulihannya.
Sokongan jangka panjang turut diberi perhatian
Dalam pada itu, MSN akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan jangka panjang yang bersesuaian untuk Hafizuddin.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk pemulihan, kaunseling dan peluang masa depan bagi memastikan kebajikannya terus terpelihara.
Taufiq turut mengajak orang ramai mendoakan agar atlet negara itu terus tabah dan kuat sepanjang proses pemulihan.
Beliau juga memohon agar orang ramai menghormati privasi Hafizuddin serta keluarganya sepanjang tempoh berkenaan.
Ikuti lebih banyak berita semasa, perkembangan nasional, kisah inspirasi dan laporan khas menerusi portal Madani Now.













Leave a Reply