Kerajaan masih tanggung beban kewangan RM20.1 bilion berkaitan 1MDB – MoF

KUALA LUMPUR – Kerajaan dianggarkan masih menanggung beban kewangan bersih sebanyak RM20.1 bilion berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas mengambil kira pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, anggaran tersebut dibuat dengan andaian tiada sebarang pemulihan dana atau aset tambahan pada masa hadapan.

Menurut kementerian itu, jumlah keseluruhan obligasi kewangan kerajaan berkaitan 1MDB mencecah RM51.4 bilion, merangkumi pembayaran yang telah diselesaikan serta baki komitmen yang masih perlu dijelaskan.

Sejak kerajaan mengambil alih tanggungan hutang dan komitmen kewangan 1MDB pada April 2017, sebanyak RM42.5 bilion telah dibayar.

Daripada jumlah itu, RM27.7 bilion melibatkan pembayaran prinsipal, manakala RM14.8 bilion lagi merangkumi faedah dan komitmen kewangan lain.

MoF menjelaskan perkara tersebut menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How, mengenai mekanisme bagi mengelakkan liabiliti seperti 1MDB terus membebankan pembayar cukai.

Dalam pada itu, kementerian memaklumkan kerajaan masih mempunyai baki komitmen sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion.

Komitmen berkenaan terdiri daripada prinsipal sebanyak RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang perlu dijelaskan sehingga tempoh matang pada 2039.

Sementara itu, MoF menegaskan kerajaan akan meneruskan usaha mendapatkan semula dana dan aset berkaitan 1MDB melalui saluran perundangan yang tersedia.

Menurut kementerian, sebarang perkembangan melibatkan hukuman jenayah atau pengampunan individu tidak secara automatik menamatkan tuntutan sivil bagi mendapatkan kembali dana yang diseleweng.

Ini kerana prosiding sivil mempunyai asas tindakan dan proses pembuktian yang berbeza daripada kes jenayah.

MoF turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu diteliti berdasarkan skop keputusan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Hak kerajaan dan 1MDB untuk meneruskan tuntutan sivil juga perlu dinilai berdasarkan bukti, asas tuntutan dan perintah mahkamah yang berkaitan.

Kementerian menegaskan bahawa keutamaan kerajaan adalah untuk memaksimumkan pemulihan dana, mengurangkan beban kewangan negara serta memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *