JAWI Laksana Kaedah Kubur Bertingkat Bagi Jenazah Tanpa Waris di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memulakan pelaksanaan kaedah pengebumian secara kubur bertingkat khusus bagi jenazah tanpa waris di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong, bermula Selasa lalu.

Inisiatif itu merupakan projek perintis bagi mengoptimumkan penggunaan ruang tanah perkuburan Islam yang semakin terhad di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut JAWI, pelaksanaan kaedah berkenaan turut menggunakan mesin takal penurun jenazah yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur bagi memudahkan proses pengebumian pada kedalaman lapan kaki.

Melalui kaedah tersebut, jenazah pertama diturunkan menggunakan pengusung kain kendong bertali dengan bantuan mesin takal, manakala dua atau tiga petugas berada di dalam kubur untuk menyambut jenazah.

Selepas jenazah pertama ditempatkan, liang lahad ditutup menggunakan papan sebelum tanah dikambus sehingga mencapai paras yang ditetapkan.

Seterusnya, liang lahad kedua digali pada kedalaman dua kaki di sebelah kiri menghadap kiblat bagi menempatkan jenazah kedua sebelum ditutup dan dikambus semula.

JAWI menjelaskan bahawa penggunaan teknologi berkenaan dapat meningkatkan kecekapan proses pengebumian, selain memudahkan tugas petugas yang terlibat.

Sebelum ini, tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur dilaporkan hanya mampu menampung keperluan pengebumian sehingga tahun 2029 berdasarkan kapasiti sedia ada.

Pada November 2025, JAWI bersama Universiti Sains Malaysia (USM) turut menjalankan kajian bagi merangka garis panduan pelaksanaan kubur bertingkat sebagai alternatif menangani kekurangan ruang tanah perkuburan.

JAWI menegaskan bahawa penambahbaikan pengurusan tanah perkuburan akan terus dilaksanakan dengan penggunaan teknologi bersesuaian, sambil memastikan setiap urusan pengebumian dijalankan secara tertib, penuh penghormatan dan selaras dengan tuntutan syarak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *