JAKIM anjur solat hajat Jumaat ini, mohon perlindungan Al-Aqsa dan Malaysia daripada jerebu

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan solat hajat di tiga masjid utama di bawah seliaannya selepas solat Jumaat minggu ini bagi memohon perlindungan Allah SWT terhadap Masjid Al-Aqsa di Palestin serta keselamatan Malaysia daripada ancaman jerebu.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, tiga masjid yang terlibat ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Menurut beliau, penganjuran solat hajat itu adalah bagi menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, umat Islam digalakkan bersama-sama menunaikan solat hajat dan memperbanyakkan doa bagi memohon keselamatan Masjid Al-Aqsa daripada sebarang bentuk pencerobohan dan kezaliman.

Dalam masa sama, bacaan doa khusus turut diadakan bagi memohon agar Malaysia terus dilindungi daripada bencana jerebu yang berpotensi menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.

Sirajuddin turut menyeru umat Islam supaya mengimarahkan masjid dan memperkukuh perpaduan ummah melalui amalan berdoa secara bersama.

Menurutnya, inisiatif tersebut diharap dapat menyatukan hati umat Islam, memperkukuh solidariti terhadap rakyat Palestin serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memohon kesejahteraan negara.

Penganjuran solat hajat itu juga menjadi platform untuk masyarakat Islam menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan Masjid Al-Aqsa dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *