KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar, termasuk etnik Rohingya, sebaliknya menyerahkan urusan penguatkuasaan kepada pihak berkuasa.
Beliau menegaskan, sebarang dakwaan mengenai salah laku, penyalahgunaan dokumen atau pelanggaran undang-undang membabitkan komuniti pelarian perlu dilaporkan kepada polis atau agensi penguat kuasa berkaitan.
Menurutnya, kerajaan memahami keresahan sesetengah masyarakat terhadap kehadiran pelarian, namun setiap tindakan mesti dilaksanakan mengikut undang-undang negara.
Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Persoalan itu dibangkitkan susulan penularan beberapa video di media sosial yang memaparkan individu dan kumpulan tertentu berdepan dengan pelarian Rohingya serta meminta mereka menunjukkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Beliau turut menyentuh dakwaan bahawa terdapat individu memasuki Malaysia menggunakan pasport asing sebelum memperoleh dokumen pelarian UNHCR.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan perkara itu masih merupakan dakwaan yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa dan tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan sedang melaksanakan sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membangunkan pangkalan data pelarian yang lebih lengkap dan boleh dipercayai.
Proses berkenaan merangkumi pengumpulan maklumat peribadi, pengesahan identiti, data biometrik serta saringan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurut Saifuddin, UNHCR menganggarkan kira-kira 225,000 pelarian berada di Malaysia, namun kerajaan memerlukan maklumat lebih terperinci bagi membantu perancangan dasar dan penguatkuasaan.
Beliau menegaskan bahawa usaha menangani isu pelarian perlu dilaksanakan secara teratur melalui saluran undang-undang, bukannya tindakan oleh individu atau kumpulan yang tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan.












Leave a Reply