Harumkan nama Malaysia! Prof Kuik antara 2 peratus saintis terbaik dunia, terima ucapan tahniah PM

KUALA LUMPUR – Kejayaan Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis teratas dunia bagi tahun 2026 mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian membanggakan itu.

Anwar berkata, pengiktirafan terhadap Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu membuktikan kecemerlangan serta sumbangan beliau dalam bidang keilmuan dan penyelidikan.

Menurut Perdana Menteri, pencapaian tersebut bukan sahaja mengangkat nama Kuik sebagai ahli akademik, malah turut mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Menerusi hantaran di platform X pada Rabu, Anwar berharap kejayaan berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan budaya ilmu dan penyelidikan dalam negara.

“Semoga kejayaan ini terus menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh tradisi penyelidikan dan menjadi inspirasi kepada generasi ilmuwan untuk menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Lebih membanggakan, Kuik turut menduduki tangga ke-31 dunia dalam subbidang Hubungan Antarabangsa, sekali gus mencatatkan kedudukan tertinggi di Asia bagi bidang tersebut.

Pengiktirafan itu adalah berdasarkan senarai saintis teratas dunia yang diterbitkan menerusi kerjasama Universiti Stanford dan syarikat penerbitan akademik Elsevier.

Pencapaian berkenaan menyerlahkan keupayaan ahli akademik Malaysia untuk bersaing pada peringkat global, khususnya dalam bidang penyelidikan dan hubungan antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *