Hampir 90 peratus perniagaan di Malaysia belum bersedia hadapi ancaman siber AI

KUALA LUMPUR – Hampir sembilan daripada 10 perniagaan di Malaysia didapati belum bersedia sepenuhnya menghadapi ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks susulan peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pengurus Synology Malaysia, Jason Sin berkata, dapatan Tinjauan Asia Tenggara 2026 oleh syarikat itu menunjukkan hanya 10.9 peratus perniagaan tempatan menyatakan mereka sangat bersedia mempertahankan sistem daripada serangan siber berasaskan AI serta memulihkan operasi selepas insiden.

Menurut beliau, penggunaan AI mampu meningkatkan produktiviti perniagaan, namun aspek keselamatan data dan keupayaan pemulihan sistem perlu diberikan perhatian yang sama.

Tinjauan tersebut turut mendapati hanya 26.4 peratus perniagaan yakin mampu memulihkan operasi dengan pantas sambil memastikan data sandaran dilindungi daripada pengubahsuaian, penyulitan atau pemadaman.

Sin menjelaskan bahawa ancaman perisian tebusan atau ransomware bukan sahaja menyasarkan sistem utama, malah boleh menyerang data sandaran sehingga menyukarkan proses pemulihan selepas serangan.

Dalam masa sama, hampir empat daripada lima perniagaan dilaporkan tidak mempunyai platform bersepadu bagi mengurus keselamatan siber dan perlindungan data, sekali gus meningkatkan risiko kelemahan pemantauan.

Beliau turut mendedahkan bahawa lebih 80 peratus perniagaan tidak melaksanakan kawalan teknikal secara aktif terhadap penggunaan AI oleh pekerja, manakala hanya satu daripada 10 perniagaan yakin sepenuhnya dapat merekodkan keseluruhan aktiviti AI.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan maklumat sulit syarikat dikongsi melalui aplikasi AI luaran tanpa kawalan keselamatan yang mencukupi.

Sehubungan itu, Sin menggesa organisasi memperkukuh perlindungan data, menggunakan sistem pengurusan sandaran yang bersepadu serta memastikan maklumat penting dapat dipulihkan sekiranya berlaku serangan siber.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan AI perlu dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar perniagaan dengan kawalan data yang jelas bagi memastikan transformasi digital tidak menjejaskan keselamatan dan kelangsungan operasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *