KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertekad menamatkan era pelantikan doktor secara kontrak menerusi Belanjawan 2027, sekali gus memperkukuh kebajikan petugas kesihatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha tersebut merupakan antara tiga keutamaan utama kementeriannya, selain mengurangkan tempoh menunggu pesakit serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur kesihatan di seluruh negara.
Menerusi Belanjawan 2027, lebih 9,000 doktor kontrak bakal ditawarkan jawatan tetap, menyusuli pelantikan lebih 15,000 doktor kontrak sejak 2023, termasuk 4,000 orang pada tahun ini.
Selain itu, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah selepas ini turut akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan, sekali gus memberi jaminan kerjaya lebih stabil kepada golongan berkenaan.
Dalam masa sama, peruntukan KKM meningkat kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion pada 2026, manakala kira-kira 47,000 jururawat dan anggota paramedik bakal menikmati peningkatan Bayaran Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan.
Dzulkefly turut menegaskan bahawa perbelanjaan dalam sektor kesihatan perlu dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memperkukuh sistem kesihatan negara serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja.













Leave a Reply