Enam ikhtiar kerajaan sasar tekanan kos sara hidup rakyat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan enam ikhtiar kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, meliputi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, teknologi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro.

Antara langkah itu ialah mengembalikan kuota asas BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 kepada 300 liter sebulan. Lebih 16 juta pengguna dijangka menikmati kuota tersebut, manakala pemilik pikap dan jip diesel yang layak boleh menerima BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.

Kerajaan turut meningkatkan peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi 2027 sebanyak 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion. Peruntukan itu meliputi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas. Kementerian Pendidikan diminta menyelaras permohonan pembaikan di setiap daerah supaya kerja penyelenggaraan dapat dimulakan seawal Januari 2027.

Bagi pembangunan kemahiran digital, 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun yang melengkapkan modul Program AI untuk Rakyat akan menerima langganan percuma selama tiga bulan bagi aplikasi IlmuChat, Gemini Enterprise, Wonderclip dan MuleRun.

Dalam sektor kesihatan awam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital, termasuk melaksanakan Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) serta meningkatkan sambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

Anwar turut mengumumkan kenaikan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun. Perniagaan yang mencatat jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta dikecualikan daripada kewajipan melaksanakan sistem itu.

Bagi membantu peniaga kecil, dana pembiayaan mikro ditambah RM1 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan bagi 2026 sebanyak RM6 bilion. Kerajaan juga memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta untuk penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam dan ibu yang berniaga dari rumah.

Mengumumkan langkah berkenaan ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Anwar berkata kerajaan memahami rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup. Beliau berharap ikhtiar itu dapat meringankan beban rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi membawa manfaat kepada mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *