GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan empat premis perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan warga asing ditutup selepas pemeriksaan menerusi Ops Tegas yang dijalankan pada Selasa.
MBPP dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu turut melibatkan penyitaan pelbagai peralatan di premis terbabit.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, kesemua premis dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menjalankan operasi perniagaan tanpa lesen yang sah.
Antara premis terlibat ialah dua kedai gunting rambut di Jalan Gurdwara, sebuah premis makanan di Fortune Court, Air Itam serta sebuah kedai runcit di Jalan Datuk Keramat.
Kesemua premis berkenaan dikenal pasti dikendalikan oleh warga asing sehingga membawa kepada tindakan penutupan oleh MBPP.
Dalam operasi tersebut, notifikasi tindakan turut diserahkan kepada pengusaha, wakil atau pekerja premis yang terlibat.
MBPP menegaskan bahawa setiap pengusaha perniagaan bertanggungjawab memastikan premis mereka mempunyai lesen yang sah dan mematuhi semua syarat pelesenan yang ditetapkan.
Tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran MBPP dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.













Leave a Reply