Dua jam tunggu penghantar barang, wanita terima berita rider maut kemalangan

PETALING JAYA – Penantian hampir dua jam seorang wanita untuk menerima barang bertukar menjadi detik menyedihkan apabila penghantar yang ditunggunya dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya.

Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna Threads dikenali sebagai Fathinaleya selepas mendapati penghantar berkenaan tidak memberikan sebarang maklum balas dan lokasinya tidak berubah.

Menurut perkongsian tersebut, rakannya kemudian menghubungi nombor telefon penghantar terbabit sebelum panggilan dijawab oleh individu lain yang memaklumkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Wanita itu turut meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ahli keluarga mangsa bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan, penghantar berkenaan dikenali sebagai Muhammad Helmie Muhammad Termizi dan dipercayai berasal dari Kelantan berdasarkan nombor pendaftaran motosikalnya.

Sementara itu, seorang pengguna Threads mendakwa kemalangan berlaku di Lebuhraya NPE berhampiran Sunway menghala ke Pantai Dalam.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang meluahkan rasa simpati terhadap mangsa, selain mengingatkan tentang risiko yang dihadapi penghantar ketika mencari rezeki.

Bagaimanapun, butiran kejadian dan lokasi kemalangan yang dikongsikan pengguna media sosial masih memerlukan pengesahan pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *