KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan sebuah video podcast yang mendakwa wujud kegiatan pengedaran dadah di sebuah rumah ibadat berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, siasatan dimulakan selepas Pengerusi Kuil Marathadi Madurai Veeran Kuala Lumpur membuat laporan polis pada Ahad bagi menafikan dakwaan yang terkandung dalam video berkenaan.
Susulan arahan siasatan daripada Timbalan Pendakwa Raya, polis telah memanggil beberapa saksi termasuk tetamu podcast, Azrul Affandi Sobry, untuk dirakam percakapan di IPD Sentul pada 21 Oktober.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menjelaskan bahawa dakwaan yang tular menerusi akaun TikTok @Sembangohhyeahh sebenarnya merujuk kepada kejadian lama pada 12 Julai 2016.
Menurut beliau, kandungan podcast tersebut merupakan penceritaan semula pengalaman seorang wartawan yang menjalankan pemantauan ketika kejadian berkenaan, bukannya laporan mengenai kejadian baharu.
Fadil turut mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika menyebarkan maklumat kerana perkongsian tanpa konteks yang jelas boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti pihak polis.












Leave a Reply