Cuba rampas objek tajam daripada pelajar, guru cedera di sekolah antarabangsa Kuching

KUCHING – Seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching cedera selepas cuba merampas objek tajam yang dibawa seorang pelajar berusia 16 tahun tanpa kebenaran dalam kejadian pada pagi Rabu.

Menurut kenyataan pihak sekolah, insiden tersebut berlaku di kawasan TK4 sebelum tindakan segera diambil bagi memastikan keselamatan warga sekolah.

Susulan kejadian itu, guru terbabit dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas pihak sekolah menghubungi perkhidmatan ambulans.

Sementara itu, pelajar berkenaan segera dikawal dan dibawa ke pejabat pengetua untuk ditempatkan di bawah pengawasan sementara menunggu tindakan lanjut.

Pihak polis yang tiba di lokasi kemudiannya mengambil alih pengendalian kes, manakala ibu bapa pelajar tersebut turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Pemeriksaan terhadap beg pelajar itu turut menemukan satu barangan yang memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, tiada kecederaan lain dilaporkan setakat ini.

Sebagai langkah keselamatan, pihak sekolah mengambil keputusan untuk menutup sekolah sementara atas nasihat polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Ibu bapa turut diminta mengambil anak masing-masing lebih awal, manakala mereka yang menghadapi kesukaran berbuat demikian dinasihatkan menghubungi pihak sekolah untuk mengatur urusan pengambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *