BUDI Diesel: Hampir 21,700 permohonan pindah kelayakan diluluskan kerajaan

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan hampir 21,700 permohonan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel setakat 27 Oktober 2026, termasuk 12,160 permohonan dari Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemudahan itu membolehkan pemilik berdaftar kenderaan diesel memindahkan kelayakan subsidi kepada individu yang benar-benar menggunakan kenderaan berkenaan.

Menurut beliau, penerima pemindahan mestilah warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah serta memenuhi syarat kelayakan BUDI95.

Penambahbaikan yang diperkenalkan sejak 16 September lalu itu turut mengambil kira penggunaan kenderaan oleh ahli keluarga atau pekerja yang bukan pemilik berdaftar, termasuk amalan sambung bayar.

Bagi pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel, pemindahan kelayakan dibenarkan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, lebih 291,000 pengguna jip dan pikap di seluruh negara menikmati tambahan kuota diesel bersubsidi sebanyak 100 liter sebulan.

Penambahan itu menjadikan jumlah kelayakan kepada 400 liter sebulan berbanding kuota asas 300 liter, sekali gus membantu pengguna yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk aktiviti ekonomi harian.

Kerajaan turut memperluas Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada jip dan pikap milik persendirian syarikat, termasuk perusahaan kecil, dengan lebih 27,200 kenderaan menerima kelayakan setakat 26 Oktober.

Amir Hamzah menegaskan kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel berdasarkan data penggunaan dan maklum balas rakyat bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *