Berita baik buat M40! Pelepasan cukai naik RM12,000, gaji bersih dijangka meningkat Januari 2027

KUALA LUMPUR – Golongan berpendapatan sederhana (M40) dijangka menikmati peningkatan gaji bersih mulai Januari 2027 susulan kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 menerusi Belanjawan 2027.

Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, langkah tersebut bakal memberi manfaat secara langsung kepada pembayar cukai menerusi pengurangan potongan cukai bulanan daripada gaji mereka.

Menurut beliau, peningkatan pelepasan cukai itu merupakan antara langkah kerajaan menangani isu yang telah lama tertangguh, selain membantu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata demikian menerusi audio siar Ngopi Dengan Zafrul, sambil menjelaskan bahawa kerajaan terus mengimbangi usaha pengukuhan kedudukan fiskal negara dengan keperluan membantu rakyat menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam masa sama, Nurhisham berkata peluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang merangkumi lebih banyak barangan keperluan asas, termasuk hasil segar dan ayam, turut mendapat maklum balas positif daripada masyarakat.

Beliau turut memaklumkan bahawa pembaharuan sektor pekerja p-panggilan dijangka dipertimbangkan pada tahun hadapan bagi meningkatkan perlindungan pekerja, memperkukuh kawal selia serta menjamin tahap pendapatan minimum.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menekankan kepentingan pengurusan kewangan kerajaan yang berhemah bagi memastikan manfaat Belanjawan 2027 dapat dilaksanakan secara berkesan.

Menurut beliau, pelaksanaan dasar yang cekap serta hasil yang dapat dirasai rakyat penting untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan ekonomi negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *