Anwar mahu persaingan ekonomi digital lebih adil, lindungi peniaga kecil daripada beban platform

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi digital negara perlu berlandaskan persaingan yang adil bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak terbeban dengan amalan platform digital.

Menurut beliau, antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk kadar komisen tinggi, syarat kontrak yang menyekat serta kawalan terhadap data pengguna yang boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan tempatan.

Anwar berkata, pembangunan ekonomi digital bukan sahaja perlu menarik pelaburan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi, malah memastikan peluang yang saksama kepada peniaga tempatan serta memberikan manfaat kepada rakyat.

Perkara itu dinyatakan menerusi hantaran di platform X pada Rabu selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bilangan 3 Tahun 2026.

Mesyuarat tersebut meneliti perkembangan ekonomi digital negara serta langkah memperkukuh daya saing Malaysia dalam menghadapi perubahan teknologi yang semakin pesat.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk pengukuhan infrastruktur digital, penjimatan perbelanjaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerajaan serta hasil kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai persaingan dalam ekosistem ekonomi digital.

Dalam perkembangan berkaitan, Belanjawan 2027 turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan PMKS melalui peningkatan akses pembiayaan, pengurangan kos operasi dan penambahbaikan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM57 bilion kepada sektor PMKS, meningkat daripada RM50 bilion sebelum ini.

Peningkatan tersebut mencatatkan jumlah pembiayaan tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk membantu perniagaan tempatan berkembang dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *