KERALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa Malaysia dan India memperkukuh kerjasama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor bagi meningkatkan keupayaan industri dan memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara.
Beliau berkata Malaysia sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor E&E dan semikonduktor di Asia Tenggara, manakala India turut mempunyai keupayaan besar dalam bidang berkenaan. Menurut beliau, kerjasama lebih erat boleh membantu kedua-dua negara berkembang dan saling memperoleh manfaat.
Anwar menyampaikan perkara itu pada majlis minum petang bersama Gabenor Kerala, Menteri Industri dan Perdagangan serta pemimpin perniagaan India di Calicut. Kira-kira 30 syarikat dari India, Malaysia dan negara Teluk menyertai sesi tersebut. Mereka mewakili sektor perubatan dan penjagaan kesihatan, semikonduktor, pembinaan, kecerdasan buatan, teknologi digital, teknologi maklumat, kejuruteraan, peruncitan, tenaga boleh baharu dan pengangkutan.
Perdana Menteri berkata pertemuan itu membuka ruang untuk memperkukuh hubungan perniagaan-ke-perniagaan dan meneroka kerjasama lebih luas dalam sektor bernilai tinggi.
Beliau turut menyifatkan India sebagai ekonomi sedang pesat membangun yang penting. Katanya, Malaysia perlu mempelbagaikan hubungan perdagangan dan pelaburan sambil mengekalkan hubungan kukuh dengan rakan ekonomi utamanya.
Hubungan diplomatik moden Malaysia-India bermula pada 1957. India kini merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$18.55 bilion (RM79.33 bilion) pada 2025.
Anwar turut menyentuh hubungan sejarah antara Kerala dengan Asia Tenggara, khususnya melalui Pantai Malabar. Beliau berkata hubungan tersebut boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan, termasuk aliran pelaburan dua hala.
Foto : BERNAMA












Leave a Reply