KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memastikan amanah umat Islam terus terpelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pindaan itu merupakan antara usaha Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tadbir urus dan membetulkan kelemahan institusi. Perkara itu dinyatakan menerusi hantaran di Facebook sempena berakhirnya Kongres Nasional PKR 2026.
Dalam hantaran sama, beliau berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 perlu dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang terus menyekat suara mahasiswa.
Anwar turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi perlu membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau negeri. Menurutnya, tanggungjawab kerajaan adalah untuk membela seluruh rakyat, termasuk penduduk di negeri yang ditadbir pembangkang.
Beliau berkata PKR perlu terus berpegang pada prinsip dan cita-cita reformasi, serta membuktikan keadilan melalui dasar dan tindakan. Kuasa, katanya, ialah amanah untuk membela rakyat dan menegakkan keadilan, bukan untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni.












Leave a Reply