JKR Selangor laksana kerja naik taraf RM4.2 juta di Persiaran Mokhtar Dahari

SHAH ALAM – Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor telah melaksanakan kerja menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari (B49), berhampiran Alam Budiman, dengan peruntukan RM4.2 juta yang diluluskan kerajaan negeri sejak 2023.

Menurut JKR Selangor, kerja penambahbaikan itu melibatkan pemasangan lampu jalan, penambahan kemudahan keselamatan dan naik taraf laluan sedia ada bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

Langkah tersebut dilaksanakan susulan peningkatan jumlah kenderaan serta kebimbangan penduduk mengenai keselamatan jalan raya, termasuk desakan supaya sebuah jejambat dibina di Persimpangan Alam Budiman.

Kerajaan negeri turut meluluskan cadangan penambahan satu lorong sepanjang kira-kira 300 meter dari arah Puncak Alam ke Shah Alam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Kerja awal sedang dilaksanakan, manakala kerja fizikal dijangka siap selewat-lewatnya pertengahan 2027.

Dalam masa sama, JKR Selangor telah mengemukakan permohonan untuk menaik taraf keseluruhan Persiaran Mokhtar Dahari kepada empat lorong menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Terdahulu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim memaklumkan bahawa kira-kira RM128 juta diperlukan bagi melaksanakan projek naik taraf jalan dan empat persimpangan utama secara berperingkat.

JKR Selangor menegaskan keselamatan pengguna kekal menjadi keutamaan, selain menasihatkan orang ramai supaya mematuhi had laju dan sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan persimpangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *