Malaysia kekal status eliminasi HIV dan sifilis ibu kepada anak, diiktiraf WHO

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mencatatkan pencapaian membanggakan dalam sektor kesihatan apabila berjaya mengekalkan status eliminasi penularan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak bagi tempoh 2021 hingga 2024.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, pencapaian itu sekali gus mengekalkan pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diperoleh negara sejak 2018.

Menurut kementerian itu, Malaysia merupakan negara pertama di rantau Pasifik Barat dan negara ke-12 di dunia yang mencapai status berkenaan.

Pengiktirafan tersebut disampaikan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Serantau WHO bagi Pasifik Barat ke-77 yang berlangsung di Manila, Filipina, dari 19 hingga 22 Oktober 2026.

Sijil pengesahan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus bersama Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat, Dr Saia Ma’u Piukala kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KKM menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil komitmen berterusan petugas kesihatan awam dan swasta, Majlis AIDS Malaysia serta pertubuhan masyarakat sivil dalam membendung penularan kedua-dua jangkitan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Dzulkefly menegaskan kepentingan memperkukuh pendekatan pencegahan penyakit dan penjagaan kesihatan melalui kerjasama seluruh masyarakat.

Antara usaha yang diberi perhatian termasuk peluasan saringan penyakit tidak berjangkit, pemerkasaan kesihatan digital bagi pengesanan awal serta pengukuhan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer.

Beliau turut menggariskan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama kesihatan antarabangsa, khususnya bagi menangani cabaran rantaian bekalan ubat-ubatan dan memastikan akses rawatan yang lebih saksama.

Selain itu, Malaysia mencadangkan pelaksanaan projek rintis perolehan ubat secara berkelompok di peringkat serantau, pembangunan papan pemuka keselamatan ubat ASEAN serta kerjasama pembuatan bahan aktif farmaseutikal.

KKM menegaskan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh sistem kesihatan awam, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *