KUALA LUMPUR – Pengoperasian Terowong SMART berjaya mengelakkan kerosakan harta benda awam di ibu negara yang dianggarkan bernilai RM4.94 bilion menerusi sistem lencongan air banjir sejak mula dibuka kepada lalu lintas pada Mei 2007.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR), Muhammad Nizam Alias berkata, sepanjang tempoh tersebut, terowong berkenaan telah mengalihkan sebanyak 266.03 juta meter padu air banjir dalam lebih 685 kejadian.
Menurut beliau, Terowong SMART merupakan infrastruktur dwifungsi yang direka khusus untuk mengalirkan lebihan air banjir, selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur.
Beliau berkata, keupayaan terowong sepanjang tiga kilometer itu memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan tertentu di ibu negara daripada risiko banjir kilat, sekali gus mengurangkan kerugian akibat kerosakan harta benda.
Muhammad Nizam menjelaskan bahawa kejadian banjir kilat yang masih berlaku di beberapa kawasan Kuala Lumpur berpunca daripada limpahan sungai yang tidak termasuk dalam liputan sistem Terowong SMART, antaranya Sungai Gombak.
Sebaliknya, lebihan air daripada kawasan Sungai Ampang dan Sungai Klang yang berada dalam liputan sistem berkenaan boleh dialirkan melalui terowong tersebut ketika hujan lebat.
Dalam pada itu, beliau mengakui pengoperasian infrastruktur dwifungsi berkenaan melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi, khususnya bagi memastikan pintu kalis air dan sistem kawalan sentiasa berada dalam keadaan selamat serta berfungsi dengan baik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan awam dan pengurusan banjir tetap menjadi keutamaan berbanding potensi kehilangan hasil kutipan tol apabila terowong perlu ditutup sementara.
Menurutnya, kerugian akibat banjir yang melanda pusat bandar berpotensi jauh lebih tinggi berbanding kos operasi dan penyelenggaraan Terowong SMART.
Sehubungan itu, ALR akan terus memastikan pengoperasian terowong berkenaan dilaksanakan secara berkesan dengan mengimbangi keperluan penyelenggaraan, tanggungjawab sosial serta komitmen kewangan bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara.












Leave a Reply