KUALA LUMPUR – Pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad bakal menikmati lebih banyak pilihan pembayaran tambang apabila keputusan tender sistem pembayaran terbuka dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, proses perolehan sistem berkenaan kini berada pada peringkat akhir penilaian teknikal dan komersial sebelum kontrak dianugerahkan kepada pihak yang berjaya.
Menurut beliau, sistem pembayaran terbuka itu akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan rangkaian rel Rapid KL serta perkhidmatan bas Rapid Bus di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Bagi perkhidmatan rel Rapid KL, sebanyak 30 peratus peralatan akses penumpang dan kutipan tambang di setiap stesen disasarkan menyokong pembayaran terbuka dalam tempoh 12 bulan pertama selepas projek bermula.
Pelaksanaan sepenuhnya bagi keseluruhan rangkaian rel pula dijangka mengambil masa sehingga 30 bulan, manakala sistem pembayaran terbuka untuk Rapid Bus di Lembah Klang disasarkan siap dalam tempoh 15 bulan selepas projek dimulakan.
Loke menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Rabu.
Mengulas kelewatan pelaksanaan projek, beliau berkata tender pertama tidak dianugerahkan, menyebabkan Prasarana perlu menjalankan proses tender semula yang mengambil masa tambahan.
Menurutnya, proses perolehan tersebut dikendalikan dan dibiayai sepenuhnya oleh Prasarana tanpa campur tangan Kementerian Pengangkutan.
Sistem baharu itu dijangka menyokong pelbagai kaedah pembayaran termasuk kad MyDebit, kad kredit dan debit antarabangsa, pembayaran tanpa sentuh melalui teknologi NFC, dompet digital, kod QR serta kad Touch ‘n Go.
Pelaksanaan inisiatif berkenaan bertujuan memberikan lebih fleksibiliti dan kemudahan kepada pengguna pengangkutan awam tanpa perlu bergantung kepada satu kaedah pembayaran sahaja.













Leave a Reply