Dakwa mampu selesaikan kes AMLA, ahli perniagaan bergelar Tan Sri didakwa tipu lebih RM10 juta

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas empat pertuduhan menipu seorang lelaki berpangkat Datuk Seri membabitkan wang lebih RM10 juta.

Tertuduh, Tan Sri Tan Kean Soon, 63, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Tan didakwa memperdayakan ahli perniagaan, Datuk Seri Keh Chuan Seng, 55, dengan mendakwa mampu membantu menyelesaikan masalah pembekuan akaun bank peribadi dan syarikat milik Keh, selain siasatan polis berkaitan pengubahan wang haram.

Dakwaan tersebut menyebabkan Keh menyerahkan wang tunai berjumlah RM2 juta, RM3 juta, SGD1.5 juta dan RM500,000 kepada tertuduh melalui seorang individu dikenali sebagai Datuk Seri Chiau Beng Teik.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur, iaitu Kuchai Lama, Dataran Maybank Bangsar, Hotel Pavilion dan Kampung Pandan antara 23 hingga 25 Mac 2025.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norfauzani Mohd Nordin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh. Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkannya, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM2 juta berserta syarat tambahan supaya tertuduh memaklumkan sebarang perjalanan ke luar negara.

Peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon jaminan dikurangkan kepada RM1 juta atas alasan anak guamnya perlu berulang-alik ke Singapura bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat supaya setiap pergerakan ke luar negara dimaklumkan kepada mahkamah dan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Januari 2027.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *