KANGAR – Inisiatif kerajaan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Belanjawan 2027 disambut baik kerana mampu meningkatkan keselamatan jalan raya serta menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia, Datuk Michael Loo Leep Chye berkata, pemeriksaan kesihatan secara berkala penting bagi memastikan pemandu berada dalam keadaan sihat ketika mengendalikan kenderaan berat.
Menurut beliau, pengesanan awal masalah kesihatan seperti penyakit jantung dapat mengurangkan risiko kecemasan perubatan ketika memandu yang berpotensi membahayakan pengguna jalan raya lain.
Beliau menjelaskan bahawa pemberian baucar tersebut juga dapat meringankan beban kewangan pemandu, khususnya golongan berpendapatan rendah, selain membantu pengusaha lori dan syarikat logistik mengurangkan kos berkaitan pemeriksaan kesihatan.
Loo yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Kedah dan Perlis berharap inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan seperti dirancang bagi membantu golongan yang dianggarkan merangkumi lebih 7,000 pengusaha dan pemandu lori tipper di Semenanjung Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober mengumumkan bahawa PERKESO akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengenal pasti risiko penyakit yang boleh menjejaskan keupayaan memandu.
Sementara itu, pemandu lori treler kontena dari Chuping, Padang Besar, Nor Hisham Baharom, 50, yang berpengalaman selama 30 tahun menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah positif untuk memastikan pemandu dapat menjalankan tugas dengan lebih selamat.
Seorang lagi pemandu lori kargo dari Seriab, dikenali sebagai Mizan, 47, berkata kesibukan bekerja sering menyebabkan pemandu kurang memberi perhatian terhadap tahap kesihatan masing-masing.
Menurutnya, kemudahan baucar itu memberi peluang kepada pemandu menjalani pemeriksaan awal dan mendapatkan rawatan lanjut sekiranya terdapat masalah kesihatan, sekali gus membantu melindungi keselamatan diri serta pengguna jalan raya.













Leave a Reply