IPOH – Seorang pesara lelaki berusia 73 tahun berputih mata apabila wang hasil jualan rumah miliknya berjumlah RM132,590 lesap selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan pertukaran mata wang asing dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, mangsa dipercayai mula terjebak dalam skim berkenaan pada 4 Julai lalu sebelum membuat laporan polis pada Selasa.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa diperkenalkan kepada skim pelaburan tersebut oleh seorang kenalan yang menawarkan pulangan keuntungan tinggi.
Tertarik dengan tawaran berkenaan, pesara itu kemudian membuat pelaburan secara berperingkat dalam tempoh kira-kira dua bulan sehingga melibatkan keseluruhan wang berjumlah RM132,590.
Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya diperdaya apabila sistem pelaburan yang digunakan tidak lagi dapat diakses pada 14 September lalu.
Lebih mengecewakan, mangsa juga tidak menerima sebarang keuntungan atau pemulangan modal seperti yang dijanjikan, sekali gus menyebabkan keseluruhan wang yang dilaburkan mengalami kerugian.
Chua memaklumkan bahawa pihak polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kegiatan penipuan pelaburan tersebut.












Leave a Reply