Bahasa Melayu mesti terus dimartabatkan, penguasaan bahasa Inggeris tidak boleh diabaikan – Fadhlina

MELAKA – Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, khususnya dalam kalangan generasi muda negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kedua-dua bahasa memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan negara dan perlu terus diperkukuh menerusi pelbagai platform, termasuk pertandingan pidato di peringkat institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, usaha memperluas penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja bertujuan memartabatkan bahasa kebangsaan, malah meningkatkan kemahiran berbahasa serta memperkaya kosa kata masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Arena Wacana Aspirasi Mahasiswa Peringkat Institusi Pengajian Tinggi bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Selasa.

Fadhlina turut menegaskan bahawa pertandingan pidato menjadi platform penting dalam membentuk budaya ilmu, selain melatih mahasiswa menyampaikan pandangan secara tersusun, berhemah dan berlandaskan hujah yang kukuh.

Dalam pertandingan tersebut, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Putra Haikal Ikhwansyah Nafarulzian muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Sementara itu, penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Yang Asyraf Asyran Rashidi meraih tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM800.

Fadhlina menegaskan bahawa penggunaan, pengayaan dan peluasan kemahiran bahasa Melayu perlu terus menjadi sebahagian daripada agenda nasional bagi memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam pembangunan generasi masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *