KLANG – Tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang, Selasa, atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dalam kejadian tahun lalu.
Tertuduh, K. Asha Nanthini, 37, adiknya K. Theveinthiran, 34, serta ibu mereka, P. Sivadevi Apparamasamy, 60, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Nur Shafrida Hashim.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiganya bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa menganiaya kanak-kanak di bawah jagaan mereka di sebuah rumah di Taman Sri Andalas, Klang, pada 5 November 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, manakala peguam bela memohon jaminan lebih rendah dengan mengambil kira kerjasama yang diberikan sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan syarat tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Disember 2026.












Leave a Reply