KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur mengambil pendekatan berbeza apabila mengadakan perhimpunan bulanan pada waktu malam bagi menyesuaikan budaya kerja pasukan itu dengan cabaran keselamatan di ibu negara yang beroperasi sepanjang masa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pemilihan waktu malam dibuat berdasarkan realiti tugas kepolisan, memandangkan banyak kejadian jenayah serta aktiviti operasi, risikan dan siasatan dijalankan pada waktu berkenaan.
Menurut beliau, pendekatan itu turut bertujuan membentuk budaya kerja yang lebih aktif dan responsif dalam kalangan warga Polis Kuala Lumpur, khususnya ketika berdepan cabaran menjaga keselamatan sebuah bandar metropolitan yang sentiasa sibuk.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada malam 21 Julai.
Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 1,100 pegawai kanan, pegawai rendah polis serta kakitangan awam.
Fadil menjelaskan, pelaksanaan perhimpunan pada waktu malam tidak menjejaskan tanggungjawab anggota dan pegawai polis dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Pendekatan itu mencerminkan keperluan pasukan polis untuk sentiasa bersedia menjalankan tugas tanpa mengira waktu, selaras dengan kehidupan di Kuala Lumpur yang terus bergerak walaupun selepas matahari terbenam.












Leave a Reply