KUALA LUMPUR – Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara menandakan bermulanya acara rasmi lawatan negara Raja Jordan, Raja Abdullah II ke Malaysia. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke istiadat tersebut pada pagi ini.
Raja Abdullah II tiba di Malaysia pada malam Ahad bagi lawatan dua hari atas undangan Sultan Ibrahim. Istiadat di Istana Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan Jordan dan Negaraku, diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das. Baginda turut menerima Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama.
Lawatan itu turut merangkumi majlis menghadap Sultan Ibrahim, Majlis Jamuan Negara serta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini merupakan lawatan negara kedua Raja Abdullah II ke Malaysia sejak 2008.
Malaysia dan Jordan menjalin hubungan diplomatik sejak 1965. Istiadat sambutan rasmi ini mencerminkan penghormatan Malaysia terhadap hubungan yang telah terjalin lebih enam dekad, di samping membuka ruang untuk memperkukuh persefahaman dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Sumber : BERNAMA












Leave a Reply