AMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan tindakan UMNO membayar denda RM50 juta bagi pihak Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menegaskan bahawa kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak boleh dipandang ringan atas alasan persahabatan.
Menurut Anwar, hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri itu tidak seharusnya memberi gambaran bahawa kesalahan rasuah boleh dibiarkan begitu sahaja.
Rasuah Tidak Boleh Dikompromi
Anwar berkata, masyarakat perlu dididik supaya berpegang pada prinsip menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesalahan rasuah melibatkan nilai berbilion ringgit tidak boleh dipandang ringan.
“Apa yang kita nak didik kepada anak-anak kita? Satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, Ampang, hari ini.
Kerajaan Hormati Keputusan UMNO
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan bahawa keputusan UMNO untuk membayar denda itu merupakan hak parti berkenaan.
Pada masa sama, kerajaan menghormati proses undang-undang dan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaras dengan Perlembagaan.
Terdahulu, UMNO mengumumkan penutupan akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas jumlah sumbangan mencapai sasaran.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu turut menyelesaikan proses pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi tadi.
Tabung berkenaan dilancarkan pada 18 September lalu. Ia bertujuan mengumpul sumbangan orang ramai bagi membantu Najib menjelaskan denda tersebut.
Najib Selesai Bayar Denda RM50 Juta
Untuk rekod, Najib dilaporkan selesai membayar denda RM50 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. pada hari ini.
Bayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
Melalui keputusan tersebut, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022. Beliau disabitkan atas kesalahan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Sumber: Astro AWANI / Bernama, 6 November
Ikuti perkembangan terkini dalam dan luar negara menerusi MADANI NOW.












Leave a Reply