KAJANG – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat keluar dari Penjara Kajang kira-kira pukul 2.37 petang tadi.
Beliau menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak.
Kenderaan itu meninggalkan kawasan penjara dengan kawalan beberapa kenderaan pengiring. Sebuah van Jabatan Penjara turut mengiringi pergerakan tersebut.
Bagaimanapun, destinasi Najib selepas keluar dari penjara masih belum disahkan. Ini termasuk sama ada beliau dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Peguam Tiba Sebelum Najib Keluar
Terdahulu, peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee tiba di Penjara Kajang kira-kira pukul 2.15 petang.
Beliau hadir dengan menaiki sebuah kereta Audi berwarna putih.
Perkembangan itu berlaku selepas Najib menyelesaikan bayaran denda RM50 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Bayaran tersebut dilaporkan dibuat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Baki Hukuman Secara Tahanan Rumah
Sebelum ini, Muhammad Farhan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menunggu surat perintah pembebasan tahanan.
Surat itu perlu diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia. Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah masih perlu disahkan melalui dokumen rasmi.
Untuk rekod, pembayaran denda RM50 juta merupakan antara syarat pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Melalui keputusan itu, beliau dijadual menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022. Beliau disabitkan atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Sumber: Utusan Malaysia, 6 November
Ikuti perkembangan terkini dalam dan luar negara menerusi MADANI NOW.












Leave a Reply