Kuota asas BUDI95 kembali kepada 300 liter sebulan mulai 1 September

KUALA LUMPUR – Kerajaan menaikkan semula had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 kepada 300 liter, berkuat kuasa 1 September 2026. Pelarasan tersebut dilaksanakan secara automatik kepada penerima yang layak.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan seramai 16 juta pengguna menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter. Warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad dan lesen memandu aktif layak menerima kuota asas tersebut.

Bagi penerima BUDI Diesel yang layak dan memiliki kenderaan diesel persendirian jenis pikap atau jip, permohonan boleh dibuat untuk tambahan 100 liter sebulan. Dengan tambahan itu, had kelayakan bulanan mereka boleh meningkat daripada 300 kepada 400 liter. Penerima yang telah diluluskan tambahan tersebut sebelum ini akan menerima pelarasan secara automatik.

Menurut MOF, pengembalian kuota mengambil kira pengurusan bekalan yang semakin tersusun, penguatkuasaan lebih tegas, prestasi ekonomi dan kemampuan kewangan kerajaan. Langkah itu juga mengambil kira keperluan mereka yang perlu menempuh perjalanan jauh serta peniaga kecil yang bergantung pada kenderaan untuk mencari rezeki.

Kerajaan berkata usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi akan diteruskan.

Foto : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *