25,592 anggota bomba, 1,248 aset siap siaga hadapi monsun timur laut

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan kesiapsiagaan seramai 25,592 pegawai dan anggota bersama 1,248 aset bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, persiapan itu melibatkan pengukuhan tenaga kerja, logistik dan penempatan aset secara strategik bagi memastikan tindakan pantas sekiranya berlaku bencana.

Menurut beliau, sebanyak 3,682 kawasan berisiko banjir dikenal pasti di seluruh negara, manakala tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November hingga Januari.

Bagi mempercepatkan operasi menyelamat, sebanyak 29 Pasukan Gerak Cepat (PGC) digerakkan, selain pengoperasian pangkalan hadapan di Pulau Pinang, Terengganu dan Johor.

JBPM turut menyediakan 571 kenderaan angkut ringan, 144 kenderaan angkut berat dan 529 aset marin, selain empat helikopter serta tiga dron untuk menyokong operasi kecemasan.

Sebanyak 150 bot komuniti juga disediakan bagi membantu penduduk mengambil tindakan awal ketika kecemasan dengan mengutamakan aspek keselamatan.

Dalam pada itu, pembekuan cuti antara 80 hingga 100 peratus dilaksanakan mengikut keperluan operasi, khususnya di negeri yang berisiko terjejas.

Nor Hisham menegaskan keselamatan rakyat menjadi keutamaan JBPM, dengan kesiapsiagaan terus diperkukuh bagi memastikan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan dapat dilaksanakan secara berkesan sepanjang musim monsun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *