Guru besar dipenjara 20 tahun, 11 sebatan atas kesalahan pornografi dan amang seksual murid

PUTRAJAYA – Seorang guru besar dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 20 tahun dan 11 sebatan oleh Mahkamah Rayuan selepas disabitkan atas kesalahan menghasilkan bahan pornografi serta melakukan amang seksual secara fizikal terhadap murid perempuan berusia 12 tahun.

Tertuduh, Anuar Kintan, 59, menerima keputusan itu selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuannya terhadap sabitan menghasilkan bahan pornografi.

Mahkamah turut mengetepikan keputusan terdahulu yang membebaskan tertuduh daripada pertuduhan amang seksual secara fizikal sebelum menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan tersebut.

Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan secara berasingan, menjadikan tempoh keseluruhan 20 tahun.

Dalam penghakimannya, mahkamah mengambil kira keterangan mangsa yang mengenal pasti tertuduh sebagai individu yang mengambil gambar berkenaan.

Keterangan itu turut disokong hasil pemeriksaan forensik yang menemukan imej berkaitan dalam telefon bimbit milik tertuduh.

Mahkamah juga menolak pembelaan alibi tertuduh selepas mendapati keterangan seorang rakan mangsa menyokong kes pendakwaan mengenai kehadirannya di sekolah ketika kejadian.

Kesalahan tersebut berlaku di sebuah sekolah di Perak pada Mac dan April 2021.

Mahkamah bagaimanapun mengekalkan pembebasan tertuduh bagi dua pertuduhan lain, manakala waran pemenjaraan dikeluarkan supaya tertuduh memulakan hukuman pada 28 Oktober 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *