KUALA LUMPUR – Kerajaan menyekat sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah program BUDI MADANI susulan pengesanan transaksi mencurigakan.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, tindakan itu diambil selepas menerima aduan daripada beberapa penerima BUDI MADANI yang mendapati maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan bagi pembelian petrol bersubsidi.
Hasil semakan mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual direkodkan di stesen berkenaan, melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.
Susulan itu, kerajaan turut menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak terbabit berjumlah lebih RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.
Selain itu, sembilan individu termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarganya disekat daripada menggunakan kemudahan subsidi BUDI MADANI sementara tindakan susulan dilaksanakan.
MoF turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan sedang meneliti rekod transaksi mereka.
Kerajaan menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan subsidi, selain meneruskan pemantauan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.












Leave a Reply