KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kerajaan sedang melaksanakan pendataan komuniti pelarian di seluruh negara menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program berkenaan kini berada pada fasa pertama yang memberi tumpuan kepada individu di Depot Tahanan Imigresen (DTI).
Menurut beliau, pelaksanaan program itu dijangka beralih ke fasa kedua dalam masa terdekat, dengan memberi tumpuan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berada di luar depot tahanan.
Pendataan itu bertujuan membolehkan kerajaan mengurus, menyelaras dan memantau keberadaan komuniti pelarian sepanjang tempoh mereka berada di Malaysia, sebelum ditempatkan semula di negara ketiga atau dihantar pulang ke negara asal.
Menjawab persoalan berkaitan kerjasama UNHCR dalam perkongsian data pelarian, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa organisasi antarabangsa masih penting sebagai platform kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam menangani isu rentas sempadan serta cabaran kemanusiaan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dengan UNHCR masih diperlukan bagi membantu proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga, memandangkan negara penerima menggunakan kad UNHCR untuk mengesahkan identiti dan status pelarian.












Leave a Reply