KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina Jalur Gemilang atau mencetuskan permusuhan antara rakyat Malaysia.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perbezaan pandangan politik dan tuntutan hak wilayah perlu disuarakan secara bertanggungjawab tanpa memperlekehkan lambang kedaulatan negara.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan sebuah kumpulan yang dilaporkan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen Victoria, Melbourne, Australia pada Sabtu.
Menurut beliau, sejarah pembentukan Malaysia perlu dibincangkan berdasarkan fakta dan bukti, bukannya dimanipulasi sehingga menimbulkan kebencian antara rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, MAPIM menegaskan bahawa tindakan provokatif tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan tuntutan sah Sabah dan Sarawak, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak autonomi yang dipersetujui.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepat pelaksanaan komitmen MA63 secara telus, selain memperkukuh pendidikan sejarah negara.
Pihak berkuasa turut diminta meneliti sebarang dakwaan pelanggaran undang-undang berkaitan insiden di Melbourne berdasarkan bukti dan bidang kuasa yang berkenaan.
MAPIM menegaskan bahawa usaha memperjuangkan hak wilayah perlu dilaksanakan melalui rundingan dan pendekatan berlandaskan undang-undang tanpa menjejaskan perpaduan negara.












Leave a Reply