Johor sasar 26,000 peluang pekerjaan untuk golongan muda tahun ini

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menyasarkan sebanyak 26,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada golongan muda sepanjang 2026 susulan pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan bernilai tinggi ke negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peningkatan tersebut didorong pelbagai inisiatif strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan penganjuran karnival kerjaya Johor Talent Development Council (JTDC).

Menurut beliau, jumlah peluang pekerjaan meningkat daripada 15,000 pada 2022 kepada 17,000 pada 2024 dan 25,000 pada tahun lalu.

Menerusi JTDC Mega Job Fair sahaja, sebanyak 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan, termasuk kira-kira 1,000 jawatan dalam kategori gaji premium.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan JTDC Mega Job Fair di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Iskandar Puteri, pada Ahad.

Onn Hafiz turut memaklumkan Johor mencatat pertumbuhan ekonomi lapan peratus dengan pelaburan mencecah RM110 bilion.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh program latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja tempatan memenuhi keperluan industri bergaji tinggi, termasuk sektor pembuatan canggih, logistik, tenaga dan pusat data.

Beliau menegaskan pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat, khususnya golongan muda dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *