KUALA LUMPUR – Seramai 886 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak diperkenalkan pada April 2023, dengan jumlah sumbangan terkumpul sebanyak RM2.61 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, inisiatif itu diwujudkan bagi menjaga kebajikan pengamal media, khususnya mereka yang menghadapi masalah kesihatan dan kesempitan kewangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media Minnal FM di Menara Kuala Lumpur, pada Ahad.
Menurutnya, seramai 116 pengamal media turut menerima bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM sejak kerjasama strategik dengan Telekom Malaysia (TM) bermula Jun lalu, melibatkan sumbangan RM361,300.
Pada majlis tersebut, tujuh pengamal media yang menghadapi masalah kesihatan dan kewangan turut menerima sumbangan melalui inisiatif berkenaan.
Teo turut menggalakkan pengamal media yang memerlukan bantuan supaya menghubungi pejabatnya atau Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), selaku urus setia tabung tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa inisiatif Ziarah Seni MADANI@FINAS telah membantu 250 penggiat seni sejak 2023, dengan jumlah sumbangan RM180,700.
Kementerian Komunikasi menegaskan komitmennya untuk terus menjaga kebajikan pengamal media dan penggiat seni yang memerlukan sokongan.












Leave a Reply