PUTRAJAYA: Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pagi ini sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia.
Ketibaan beliau pada kira-kira jam 8.55 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Min Aung Hlaing kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Beliau turut menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan dua hala bersama Anwar bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan hubungan Malaysia-Myanmar.

Antara agenda utama ialah usaha penghantaran pulang warga Myanmar daripada semua kumpulan etnik yang berada di Malaysia secara tidak sah, dengan Malaysia menegaskan proses berkenaan perlu dilaksanakan secara sukarela, bermaruah dan selamat.
Kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan perkembangan serta usaha ASEAN dalam menangani situasi di Myanmar.
Menurut Wisma Putra, lawatan berkenaan memberi ruang kepada Malaysia meneruskan libat urus secara langsung dengan Myanmar selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 untuk mengekalkan pendekatan yang konstruktif dan berprinsip terhadap negara itu.
Malaysia juga menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha ASEAN ke arah keamanan, perdamaian serta akses bantuan kemanusiaan di Myanmar.
Lawatan itu turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia memperkukuh kerjasama dengan negara anggota ASEAN bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran serantau.












Leave a Reply