KULAI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut sedang diuruskan mengikut peraturan pentadbiran awam yang berkuat kuasa.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-78 serta peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Melayu Sedenak, Kulai, Johor, pada Sabtu.
Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Peguamnya, Datuk Rosal Azimin Ahmad sebelum ini memaklumkan bahawa Mohd Shuhaily akan terus menjalankan tugas seperti biasa selagi tiada arahan pentadbiran sebaliknya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution turut menerima dengan hati terbuka kritikan Ahli Parlimen pembangkang berhubung peranannya dalam menangani isu membabitkan AKPS dan anggotanya.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kemampuan pemimpin pembangkang menjadi pendamai ketika parti mereka sendiri berdepan konflik dalaman.














Leave a Reply