Ustaz Wadi Annuar antara lima cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Gerik

IPOH – Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar antara lima individu yang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak, awal pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu melibatkan sebuah Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Toyota Vellfire.

Menurut beliau, Perodua Myvi terbabas ke dalam longkang menyebabkan pemandunya yang berusia 24 tahun cedera parah, manakala penumpang lelaki berusia 25 tahun tersepit di bahagian hadapan kenderaan. Seorang lagi penumpang mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, dua daripada empat individu yang menaiki Toyota Vellfire mengalami kecederaan, manakala tiga individu dalam Perodua Bezza dilaporkan tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman mengesahkan Ustaz Wadi Annuar merupakan antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Menurut sukarelawan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Mohd Amir Faizal Mohd Zaki, pendakwah itu mengalami kecederaan pada bahagian rusuk, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan keluar dari hospital.

Difahamkan, Ustaz Wadi Annuar bersama rombongannya sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Terengganu untuk menghadiri sebuah program.

Operasi menyelamat melibatkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gerik itu tamat pada pukul 4.39 pagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *