KUALA LUMPUR – Dua bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan menipu Ahli Lembaga Pengarah institusi itu berhubung pelarasan nilai hartanah yang dikaitkan dengan pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion kepada pendeposit.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, 70, dan bekas Ketua Pegawai Kewangan TH, Datuk Rozaida Omar, 63, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan bersama dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa menyediakan dan membentangkan kertas kerja yang mengandungi cadangan pelarasan semula nilai tiga hartanah pelaburan milik TH.
Hartanah terbabit ialah Bangunan TH Platinum Park, Bangunan TH Perdana dan Bangunan TH Selborne.
Pelarasan nilai berkenaan didakwa bertujuan meningkatkan jumlah keuntungan dalam laporan kewangan TH yang belum disatukan dan belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.
Langkah itu didakwa membolehkan pembayaran hibah kira-kira RM3.3 bilion kepada pendeposit dilaksanakan.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh didakwa mengetahui bahawa nilai hartanah berkenaan sepatutnya dinilai pada harga pasaran yang lebih rendah.
Perbuatan tersebut didakwa telah mendorong Ahli Lembaga Pengarah TH meluluskan kertas kerja dan cadangan pelarasan nilai hartanah terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara TH Tun Razak, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur antara pukul 3 petang hingga 10.30 malam pada 9 Februari 2018.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Rohaiza Abd Rahman dan Siti Aina Rodhiah Md Shikh.
Sementara itu, Johan diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed dan Malissa Shukri, manakala Rozaida diwakili peguam Shamsul Sulaiman.












Leave a Reply