PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menjalankan kajian menyeluruh bagi menilai kesan kelewatan pembekalan baja terhadap pengeluaran padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selepas aktiviti penuaian selesai pada November ini.
Menurut KPKM, penilaian itu bertujuan mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai prestasi pengeluaran padi bagi Musim 1/2026 berdasarkan data hasil sebenar.
Analisis awal yang melibatkan 21 peratus sampel Tinjauan Pemotongan Padi MADA menunjukkan anggaran purata hasil kasar sebanyak 5.69 tan sehektar, berbanding 4.60 tan sehektar bagi musim sama tahun lalu.
Dapatan tersebut menunjukkan peningkatan purata hasil padi secara keseluruhan di kawasan MADA, namun kementerian menegaskan bahawa angka berkenaan masih bersifat awal dan belum boleh dijadikan kesimpulan muktamad.
KPKM menjelaskan bahawa kesan kelewatan pembekalan baja terhadap pesawah secara individu perlu dinilai berdasarkan bukti dan data sebenar selepas proses penuaian selesai.
Dalam masa sama, kementerian menegaskan bahawa kebajikan pesawah kekal menjadi keutamaan kerajaan, termasuk mereka yang berdepan masalah kelewatan bekalan baja serta kesan kemarau.
Bagi membantu pesawah terjejas, bantuan kewangan menerusi Skim Takaful Tanaman Padi berjumlah RM1.99 juta telah disalurkan secara berperingkat kepada pesawah berdaftar di kawasan MADA dari Jun hingga Oktober 2026.
Sementara itu, bantuan sebanyak RM5.13 juta kepada pesawah di luar kawasan MADA akan mula disalurkan secara berfasa pada Jumaat, 23 Oktober.
Sebelum ini, kira-kira 38,000 pesawah melibatkan kawasan tanaman seluas 78,117 hektar dilaporkan terjejas akibat kelewatan pengagihan Baja Sebatian Tambahan atau Baja Padi 3.
Isu tersebut turut mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuka kertas siasatan pada 7 September lalu berhubung kelewatan pembekalan baja oleh syarikat yang dilantik.
Susulan siasatan itu, seorang pengarah dan seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja telah didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan berkaitan pemalsuan dokumen bagi permohonan tender pembekalan baja kepada MADA.
KPKM menegaskan pihaknya akan terus memantau keadaan di lapangan dan memastikan sebarang tindakan susulan dibuat secara objektif demi menjaga kebajikan pesawah, kestabilan bekalan beras serta keterjaminan makanan negara.













Leave a Reply